Wan Mohd. Faizal Wan Azhar, 28, dan adiknya Wan Muhammad Faris, 22, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu terhadap Leong Min Yi, 27, di Jalan Syed Putra, di sini kira-kira pukul 10.30 malam, 22 Februari lalu.

Mereka yang bekerja sebagai peniaga itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Dalam pada itu, kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama dengan sengaja memecahkan cermin kereta milik Min Yi di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mohd. Ashif mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh namun peguam, Ahmad Ridza Mohd. Noh yang mewakili Wan Mohd. Faizal dan Wan Muhammad Faris memohon jaminan dibenarkan dengan jumlah minimum atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran selain menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan kes.