Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida berkata, produk yang sudah berada di pasaran sejak 10 tahun itu cukup popular dan mempu­nyai ramai pengguna di semua peringkat umur terma­suklah warga emas.

“Alhamdulillah berkat so­kongan pengguna Pamoga, akhirnya saya berjaya me­ngum­pulkan wang dan melunaskan semua denda tersebut mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pengguna kerana memberikan sokongan dengan membeli Pamoga. Sokongan ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus kental berdepan cabaran pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan mahkamah menarik balik 16 pertuduhan gagal membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) selepas Dr. Vida menjelaskan tunggakan cukai berjumlah lebih RM4.2 juta.

Mengikut pertuduhan, Dr. Vida didakwa sebagai seorang yang berdaftar di bawah Akta GST 2014 dan pemilik tunggal perniagaan syarikat Vida Beauty Sdn. Bhd. telah gagal membayar cukai bagi tempoh bercukai antara April 2015 sehingga Julai tahun lalu berjumlah lebih RM4.2 juta.

Tambah Dr. Vida, hampir setiap minggu beliau akan ‘turun padang’ menjual produk itu untuk mendapatkan dana bagi melunaskan denda tersebut.

Katanya, sejak kes tersebut dibawa ke mahkamah 13 Oktober lalu beliau terpaksa mengurangkan ‘masa rehat’ dan bekerja lebih keras untuk mengumpul dana bagi menyelesaikan bayaran denda.

“Ketika itu, hanya Allah yang tahu bagaimana saya berdepan dengan pelbagai cabaran, bagaimana hendak mencari wang untuk membayar semua denda tersebut,” katanya.