Peguam yang mewakili Mukhriz, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, mahkamah menetapkan 13 dan 14 Julai serta 19 dan 20 Oktober untuk perbicaraan kes tersebut.

“Selain daripada Mukhriz sebagai plaintif, Dr. Mahathir dan Muhyiddin akan dipanggil sebagai saksi kes ini,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, peguam Tengku Sharifuddin, Ooi Dia Yi berkata, pihaknya akan mengemukakan tiga saksi termasuk defendan (Tengku Sharifuddin).

Mukhriz memfailkan saman tersebut pada 3 Mei 2016 kerana mendakwa Tengku Sharifuddin telah mengeluarkan empat kenyataan berbaur fitnah terhadapnya pada 15, 20, 23 dan 26 April 2016.

Tengku Sharifuddin dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 14 Jun 2016 menafikan empat kenyataan itu memfitnah Mukhriz tetapi menegaskan kenyataan tersebut adalah untuk menjelaskan dan menegah tuduhan yang tidak benar terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.