Mukhriz bagaimanapun membetulkan kenyataan tersebut de­ngan mengatakan usaha itu mungkin bermula sejak 2014 lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam itu turut bersetuju dengan kenyataan serta cadangan Jahaberdeen bahawa usaha Dr. Mahathir dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyingkirkan Najib merupakan suatu perkara yang diketahui umum dan tersebar luas dalam media sosial dan media arus perdana.

Menjawab soalan susulan berhubung niat Dr. Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Mukhriz membetulkan perkataan ‘komplot’ yang digunakan oleh Jahaberdeen.

“Bukannya komplot tetapi kedua-duanya mempunyai niat bersama,” ujarnya ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakan beliau terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Mukhriz selaku saksi plaintif pertama turut bersetuju dengan kenyataan Jahaberdeen yang mewakili Tengku Sariffuddin bahawa Dr. Mahathir kecewa de­ngan pencapaiannya dalam pentas politik.

Saksi itu juga diajukan soalan mengenai responsnya dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar luar negara pada 22 April 2016 bahawa beliau tiada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

“Ketika wawancara itu saya masih ahli UMNO. Tetapi keadaan dulu dan sekarang, sudah berbeza,” kataya.

Diminta menjelaskan apakah yang dimaksudkannya, Mukhriz menjawab: “Soalan yang dita­nyakan dalam wawancara tersebut tentang apa yang dilakukan oleh ayahanda saya, pernah hendak mengangkat saya menjadi Perdana Menteri. Apabila soalan itu ditanyakan, maka saya jawab, tuduhan itu palsu (apabila dikatakan itu yang menjadi alasan untuk Dr. Mahathir mengutuk Perdana Menteri).”

Saksi itu kemudian memberitahu mahkamah, jika jawapan tersebut mengelirukan, beliau memohon untuk memperjelaskannya.

Katanya, pada 22 April 2016, ketika diwawancara, beliau ada mengatakan dia tidak bercita-cita menjadi Perdana Menteri bagi menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Namun begitu beliau berkata, hasrat dan niat yang suci untuk menjadi Perdana Menteri bukan suatu kesalahan.

Mukhriz bagaimanapun tidak bersetuju dengan soalan peguam yang mengatakan, seorang pembaca yang munasabah tidak meng­anggap perkataan tersebut sebagai memfitnahnya.

Dalam saman bertarikh 3 Mei 2016, bekas Menteri Besar Kedah itu selaku plaintif mendakwa te­lah difitnah oleh Tengku Sariffuddin melalui dua kenyataan akhbar yang diterbitkan pada 23 dan 26 April 2016 dan didakwa disiarkan secara meluas oleh media, portal berita dan laman sosial Facebook menggunakan nama PMO Malaysia.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mukhriz memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya hari ini telah memfailkan notis permohonan secara ex-parte (se­belah pihak) untuk mendapatkan kebenaran bagi mengkomitkan Najib atas dakwaan menghina mahkamah.

Permohonan itu dibuat atas enam alasan antaranya, berdasarkan kepada kenyataan yang dibuat Perdana Menteri yang secara jelas merujuk kepada pihak plaintif yang boleh terjumlah sebagai satu tindakan untuk mencampuri urusan mahkamah secara salah dan tidak wajar walhal saman tersebut telah ditetapkan untuk perbicaraan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung esok dengan Dr. Mahathir akan tampil sebagai saksi plaintif.