Pengakuan tersebut dibuat oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini semasa perbicaraan kes saman anaknya, Datuk Seri Mukhriz terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad atas dakwaan memfitnah.

Bekas Perdana Menteri itu yang kini berada di pentas pembangkang seterusnya ditanya oleh peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Tengku Sariffuddin, tidakkah beliau berasa risau tindakannya itu akan merosakkan UMNO.

Ahli politik veteran itu yang dahulunya bermati-matian mem­­per­juangkan parti tersebut de­ngan nada bersahaja berkata: “Tidak merosakkan UMNO tetapi UMNO Najib. Ini kerana, Presiden UMNO telah dituduh mencuri. Nama Malaysia buruk, sekarang dan bukannya dulu.”

PPBM menentang UMNO, dak­wa Dr. Mahathir disebabkan parti itu bukannya UMNO (yang dahulu) lagi.

“Sudah menjadi ‘parti Najib’,” dakwa ahli politik pembangkang itu yang kini berusia 92 tahun.

Dalam pernyataan saksi, Dr. Mahathir selaku saksi plaintif kedua, menafikan dakwaan yang beliau telah berkomplot dengan sesiapa pun apatah lagi dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin semata-mata untuk menaikkan anaknya itu.

Dr. Mahathir juga menyatakan, meskipun beliau merasakan empat kenyataan Tengku Sariffuddin itu berbaur fitnah namun beliau tidak mengambil sebarang tindakan.

Dengan nada menyindir Dr. Mahathir berkata: “Yang penting, saya tidak pernah janji untuk saman sesiapa, tetapi kemudiannya saya teruskan untuk tidak saman, macam apa yang Najib buat.”

Selepas Dr. Mahathir memberikan keterangan lebih kurang 10 minit, peguam Mohamed Ha­niff Khatri Abdulla yang mewakili Mukhriz selaku plaintif telah menutup kesnya.

Mukhriz memfailkan saman tersebut pada 3 Mei 2016 setelah mendakwa beliau difitnah oleh Tengku Sariffuddin melalui dua kenyataan akhbar yang diterbitkan pada 23 dan 26 April 2016 dan disiarkan secara meluas oleh media, portal berita dan laman sosial Facebook menggunakan nama PMO Malaysia.

Terdahulu, pada sesi pagi, bekas Menteri Besar Kedah itu yang menyambung keterangannya ber­kata, situasi politik Malaysia pada 2013 dan 2016 seperti langit dan bumi bezanya.

Timbalan Presiden PPBM itu berkata, sehubungan itu niat beliau bertanding jawatan Naib Pre­siden pada tahun 2013 juga tidak sama dengan niatnya terhadap UMNO selepas itu kerana dalam tempoh tiga tahun tersebut ba­nyak perkara yang berlaku.

“Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) tiada isu panas di pihak kerajaan yang boleh menyebabkan saya berasa tidak selesa de­ngan politik,” kata saksi plaintif pertama itu.

Sewaktu disoal apabila beliau memilih bertanding jawatan Naib Presiden adakah maksudnya beliau berniat untuk menjadi Perdana Menteri, Mukhriz berkata, beliau berpendapat ahli UMNO sudah sedia maklum bertanding jawatan Naib Presiden tidak semestinya mahu menjadi Perdana Menteri.

Sungguhpun ada yang meng­anggap sebagai anak Dr. Mahathir merupakan batu loncatan dalam karier politiknya namun menurut Mukhriz, itu bukanlah suatu jaminan.

Beliau menambah, sekiranya wujud sangkaan sebegitu di luar sana bahawa Dr. Mahathir ber­usaha ‘menebas lalang’ untuk beliau namun itu bukanlah satu-satunya cara.

Berhubung cadangan Jahaber­deen bahawa perkataan-perkataan dalam beberapa kenya­taan media yang dikeluarkan oleh anak guamnya sebenarnya tiada nilai fitnah terhadap saksi tersebut, Mukhriz menjawab tidak bersetuju kerana pernya­taan tersebut baginya telah memfitnah beliau.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan 19 dan 20 Oktober ini untuk mendengar keterangan pihak defendan yang akan mengemukakan tiga saksi.