Hakim Harmi Thamri Mohamed @ Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap peniaga kosmetik dalam talian, Fatin Nabilah Mohamad Hassan, 26, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati keterangan pembelaannya gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

“Mahkamah telah mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan perlu dipandang berat kerana ia memberi kesan kepada kesihatan dan keselamatan orang awam.

“Pada masa sama, mahkamah berharap orang awam tampil memberi maklumat kepada Kementerian Kesihatan mengenai mana-mana pengamal perubatan yang tidak berdaftar yang menyediakan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi palsu ini,” katanya yang memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Fatin Nabilah bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah hari ini berikutan dia sedang menjalani rawatan akupunktur disebabkan mengalami masalah cakera teranjak (slipped disk) di sebuah hospital di Melaka seperti dimaklumkan peguamnya, Khairul Amin Abdullah.

Namun Harmi Thamri tetap meneruskan prosiding ekoran mahkamah telah memberi masa lebih dua minggu untuk OKS menguruskan kesihatannya selepas tarikh prosiding sebelum ini ditangguhkan.

Beliau turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh OKS melapor diri di penjara setelah mahkamah menolak permohonan peguam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut selain OKS diperintah membayar denda dengan segera.

Fatin Nabilah dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 di sebuah bilik hotel, Jalan Metro Pudu 2, Fraser Business Park, di sini pada pukul 12.10 tengah hari, 11 Disember 2015.

Wanita itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah subperenggan 5(1)(a)(i) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Kesihatan, Nurul Khairiyah Samsudin memohon hukuman maksimum kerana kesalahan ini serius melibatkan keselamatan dan kesihatan orang awam apatah lagi kes-kes pemasangan pendakap gigi ini menjadi perhatian pihak media di akhbar dan televisyen.

“Perkhidmatan rawatan pendakap gigi tidak berdaftar ini amat berbahaya kerana melibatkan prosedur yang kompleks,” katanya.

Mengikut keterangan kes, sepasukan unit penguatkuasaan pergigian dari Jabatan Kesihatan cawangan Negeri Sembilan telah membuat serbuan di hotel tersebut dan mendapati OKS gagal menunjukkan borang pendaftaran klinik selain menemui beberapa peralatan pergigian bagi rawatan pendakap gigi. Hasil siasatan menyeluruh mendapati OKS tidak mempunyai sijil amalan pergigian. - UTUSAN ONLINE