Tertuduh, Lau Kar Shen, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azuar Che Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, pada pukul 12.01 tengah malam hingga pukul 2 pagi pada 14 Mac lalu di tepi jalan Ladang Kelapa Sawit Kampung Paya Lang, tertuduh didakwa dengan niat hendak menyebabkan kematian Azraff Kamarulzaman, 25.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan mematikan orang dengan kesalahan membunuh yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun atau denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadila Md. Ali memohon mahkamah mengenakan kadar jaminan sebanyak RM15,000 dan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan bertemu keluarga mangsa.

Bagaimanapun, peguam Aedi Tajuddin yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah jaminan diringankan memandangkan tertuduh yang bekerja sendiri menanggung seorang bapa yang sakit dan seorang adik serta abang yang masih belajar.

Mahkamah kemudian mengenakan jaminan sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu keluarga mangsa.

Kes disebut semula pada 23 April ini. - UTUSAN ONLINE