Tertuduh, Muhammad Hassan Syauqi Omar, 23, berdepan tiga pertuduhan kerana membenarkan kemasukan wang berjumlah RM2,300 ke akaun Maybank miliknya yang mana dia mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai secara keseluruhan atau sebahagian wang itu akan memanfaatkan dua pengganas iaitu Muhammad Fudhail Omar, 25, dan Wan Mohd. Aquil Wan Zainal Abidin, 38.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tiga waktu berbeza iaitu kira-kira pukul 4.36 petang, 28 April 2015; kira-kira 8.19 malam, 1 Mei 2015 dan kira-kira 3.03 petang, 29 April 2015 di premis beralamat 955, Jalan Bukit Puteri 11/3A, Bandar Pu­teri Jaya dekat sini.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwaraya negeri, Nurul Faraheen Yahya di depan Majistret, Adibah Husna Zainal Abidin mengikut Seksyen 130O(1)(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130O(1)(bb) kanun sama sementara tertuduh diwakili peguam, Nurul Syafiqah Razak.

Sementara itu kenalannya, Mohd. Shaiful Mohd. Jaafar, 31, turut dihadapkan ke mahkamah sama kerana menggunakan akaun Maybank miliknya bagi memberi wang RM890 kepada Muhammad Hassan Syauqi yang mana dia mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa harta itu digunakan, secara keseluruhan atau sebahagian untuk perbuatan pengganas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 April 2015, kira-kira pukul 9.15 malam di sebuah premis beralamat No.1605, Lorong Teja 34, Taman Keladi dekat sini.
Pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwaraya negeri, Noor Farahin Ibrahim mengikut Seksyen 130N(b) Kanun Keseksaan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menanti keizinan bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Di Mahkamah Majistret Kulim, seorang lelaki, Azuddin Mahmud, 54, didakwa menyokong aktiviti keganasan yang mempunyai kaitan dengan ketua militan Daesh Asia Tenggara, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang terbunuh di Syria, April lalu.

Tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap didakwa melakukan kesalahan itu de­ngan membenarkan kemasukan wang RM3,500 ke akaun milik­nya yang dipercayai ke­seluruhan atau sebahagian daripadanya dapat memanfaatkan pengganas itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 27 Januari 2016 kira-kira pukul 7.26 pagi di premis beralamat No. 307, Jalan Jati 1, Taman Jati, Kulim.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ellyna Othman mengikut Seksyen 130O(1)(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130O(1)(bb) kanun sama di depan Majistret, R. Manomani.

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga mereka boleh dihukum penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 30 tahun selain denda bagi setiap pertuduhan dihadapi.