SUSPEK
SUSPEK

ALOR SETAR 30 Jan. - Sebanyak 13 lagi akaun bank membabitkan wang sebanyak RM1.1 juta dipercayai hasil rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis serta dua pemilik syarikat dibekukan hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Pence­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, angka terbaharu itu menjadikan wang milik pe­ngarah berusia 60 tahun tersebut, anak-anaknya serta pemilik syarikat yang telah dibekukan berjumlah kira-kira RM4 juta.

“Semalam kita menangkap suspek pertama di pejabatnya di Perlis manakala dua lagi yang berumur 50 dan 39 tahun ditahan di pejabat SPRM Kedah. Kita juga rampas wang tunai RM900,000 di rumah seorang pemilik syarikat dan bekukan empat akaun berjumlah RM2.9 juta.

“Hari ini, kita membekukan RM1.1 juta lagi daripada 13 akaun milik suspek pertama serta anak-anaknya dan pemilik syarikat. Selain itu, kita juga menyita sebuah motosikal milik pengarah berkenaan yang dianggar bernilai RM18,000,” katanya selepas meng­hadiri Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah di sini di sini.

Menurut Mohd. Fauzi, pihak­nya tidak menolak kemungkinan akan membuat tangkapan baharu selepas siasatan lanjut dijalankan.

“Nilai suapan keseluruhan juga masih dalam siasatan dan kita percaya ia membabitkan jumlah yang besar kerana suspek didakwa mengambil 10 peratus daripada setiap projek JPS Perlis dari 2014 hingga 2017,” ujarnya.

Sementara itu, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Ak­ti­viti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Perintah reman sehingga Is­nin depan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim di sini hari ini.

 

KES 2

Pegawai JPJ terima rasuah RM14,000

 

KLANG 30 Jan. – Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah RM14,000 daripada tiga syarikat pembinaan, tiga tahun lalu.

Selain lelaki berusia 43 tahun itu, tiga pengurus syarikat ber­usia antara 30 hingga 45 tahun turut direman bagi tempoh yang sama, ketika kesemua mereka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Roslizi Sulaiman memerintahkan kesemua suspek itu direman sehingga Sabtu ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Sek­syen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, keempat-empat sus­pek yang tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 10.15 pagi memakai baju lokap berwarna jingga sambil masing-masing diiringi pegawai SPRM.

Sumber berkata, pegawai kerajaan itu yang kini bertugas di Bahagian Pengujian Lesen Memandu JPJ Selangor dipercayai telah menyalahgunakan kuasa semasa berkhidmat di Stesen Timbang JPJ Kuala Selangor.

“Suspek disyaki memperoleh wang suapan sebanyak RM100 hingga RM1,800 sebulan daripada syarikat pembinaan sepanjang tahun tersebut sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim yang mengesahkan penahanan tersebut memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

 

KES 3

Seleweng dana sains RM3 juta

 

PUTRAJAYA 30 Jan. – Seorang bekas pegawai di sebuah badan sains antarabangsa direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM3 juta sejak tahun 2012.

Majistret Mohd. Nor Hafidzuddin Yusoff mengeluarkan perintah reman sehingga 3 Februari ini terhadap suspek berusia 44 tahun itu yang merupakan Pegawai Tadbir Kanan International Council for Scientific Union Regional Office for Asia Pacific (ICSU-ROAP) di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM).

Mahkamah Majistret di sini hari ini turut mengeluarkan perintah reman bagi tempoh yang sama terhadap seorang rakan suspek berusia 57 tahun kerana disyaki bersubahat dalam penyelewengan itu dan telah menyamar menggunakan gelaran profesor lestari dari universiti tempatan.

Semalam, akhbar melaporkan dua individu termasuk seorang Pegawai Tadbir Kanan ICSU-ROAP telah diberkas Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) di sebuah kondominium di Kuala Lumpur selepas disyaki menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM3 juta.

 

KES 4

Menyamar orang tengah polis

 

SEREMBAN 30 Jan. – Tin­da­kan dua peniaga menya­mar sebagai orang te­ngah polis dan meminta wang RM5,100 bagi melepaskan seorang suspek kes dadah membawa padah apabila mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Port Dickson, semalam.

Suspek pertama berusia 44 tahun ditahan di sebuah restoran di Bandar Springhill, Port Dickson pada pukul 3 petang, manakala rakannya berumur 46 tahun diberkas di pejabat SPRM Port Dickson pada pukul 4.30 petang.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang merupakan peniaga disyaki meminta wang tersebut daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk membantu melepaskan anaknya yang ditahan polis kerana kes penyalahgunaan dadah.

Ujarnya, bagi meyakinkan lelaki terbabit, suspek mendakwa RM5,000 daripada wang itu akan diberikan kepada seorang anggota polis berpangkat Sarjan dari Bahagian Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah Port Dickson bagi menyelesaikan kes itu.

“Suspek telah menerima sebanyak RM3,000 daripada jumlah wang itu pada Sabtu lalu manakala RM2,100 diserahkan kepada mereka semalam,” kata sumber itu di sini hari.

Kedua-dua suspek direman lima hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

 

Pecah amanah RM2.5 juta

MELAKA 30 Jan. – Seorang bekas pengurus projek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah membabitkan peruntukan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bernilai RM2.5 juta, dua tahun lalu.

Muhamad Nasir Razak, 39, didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau, Kilometer 24, Jalan Jasin-Merlimau antara 31 Januari dan 31 Disember 2016.  

Mengikut pertuduhan, Muhamad Nasir sebagai pengurus projek SBPKP didakwa telah me­la­kukan pecah amanah terhadap Baja Sebatian, NPK Tambahan dan Urea sebanyak 56,700 beg bernilai RM2,544,650 yang dile­takkan di bawah seliaannya.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkannya melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 6 Mac ini untuk sebutan kes serta lantikan peguam.

Tertuduh bagaimanapun gagal menjelaskan wang jaminan.