Pengakuan itu direkodkan di tiga mahkamah iaitu di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali, Tuan Ruzaini Tuan Lah dan Noor Aisah Mohamed.

Sebanyak 28 orang daripada mereka berketurunan Sulu dan berasal dari Zambaonga, Filipina manakala dua lagi warga negara Indonesia dari Kalimantan.

Kesalahan dilakukan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah peraturan sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semua tertuduh yang terdiri daripada 27 lelaki dan tiga wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 55 tahun ditangkap dalam operasi bersepadu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama Jabatan Imigresen negeri di sekitar kawasan Balok dan Sungai Karang di sini, pada 21 Januari lalu sekitar pukul 1.10 pagi.

Ketika prosiding berjalan, rata-rata tertuduh yang bekerja di kilang dan di bahagian pembersihan memohon agar dikenakan hukuman ringan memandangkan gaji yang diterima sekitar RM700 sebulan, selain ada antara mereka yang tidak sempat bekerja sebelum ditangkap.

Rini Triany mengarahkan 14 orang daripada tertuduh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan bermula dari tarikh mereka ditangkap, manakala tiga tertuduh dijatuhi hukuman yang sama oleh Tuan Ruzaini.

Noor Aisah pula menjatuhkan hukuman penjara empat bulan kepada 11 tertuduh dan penjara lima bulan kepada dua tertuduh selebihnya yang mana kesemuanya bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Noor Asiah sempat menasihati semua tertuduh agar menggunakan saluran dan cara yang betul untuk masuk ke negara ini jika ingin bekerja dan bukan menggunakan kad pengenalan palsu.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada JPN Putrajaya iaitu Mohd. Fazelhy Abdul Razak, Mohd. Ashgar Hussain dan Mokhzan Ariff.