Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Adam Abdullah, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut untuk mencederakan ibunya, Rahimah Abdul Rahman, 52, dengan mengacukan gunting di sebuah rumah di Kampung Terap Banggu, di sini pada pukul 9.30 pagi, 19 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hamidah Mahmood manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding tersebut, Rahimah yang dipanggil ke mahkamah untuk memberikan keterangan memberitahu bahawa dia sudah memaafkan perbuatan yang dilakukan oleh anaknya itu.

Rahimah juga memohon supaya mahkamah memberikan hukuman setimpal iaitu penjara 12 bulan sebagai pengajaran kepada anaknya.

Nik Habri turut memberi peringatan kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.

“Kamu bernasib baik, ibu kamu minta hukuman penjara 12 bulan sebagai pengajaran. Saya tanya ibu kamu (ketera­ngan impak) kali ini sahaja, selepas ini jika buat lagi saya berikan hukuman saya.

“Saya menghargai ketera­ngan ibu kamu, saya pertimbangkan dan luluskan hukuman penjara 12 bulan bermula tarikh sabitan hari ini,” katanya.