MARMI ZABRIN MIAN
MARMI ZABRIN MIAN

Marmi Zabrin Mian, 33, yang sebelum ini pernah dipenjara tiga bulan atas kesalahan menendang seorang wanita tahun lalu, mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rahni Kartini Abd. Rahim.

Dia yang tidak bekerja itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas penganalisis di BNM, Or Su Lin, 34, di jejantas Jalan Raja Laut, di sini kira-kira pukul 1.30 petang, 6 November lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan ke­dua, Marmi Zabrin didakwa dengan sengaja menyebabkan serangan jenayah ke atas mang­sa yang sama di tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 351 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Ketika pertuduhan kedua dibaca­kan, tertuduh de­­ngan selamba bertanya: “Macam mana sera­ngan jenayah itu? Boleh beri contoh?.

Rahni Kartini kemudian mengarahkan pertuduhan itu dibaca semula dan bertanyakan sama ada tertuduh faham atau tidak.

Marmi Zabrin kemudian menjawab: “Ok, ok, saya faham,”.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan pertama manakala penjara tiga bulan bagi pertuduhan kedua dan berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 8 November lalu. Sekiranya gagal membayar denda, dia berdepan hukuman penjara tiga bulan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira mangsa adalah wanita selain kes ini jenayah berulang.

“Tertuduh menggunakan modus operandi yang sama iaitu menendang mangsa dari belakang. Mangsa pula adalah wanita yang tidak melakukan sebarang provokasi selain kes ini berlaku di tempat awam dan mendapat liputan meluas.

“Bayangkan sekiranya mangsa, warga emas, sudah pasti kecederaan akan lebih teruk. Setakat ini ada lima laporan polis dibuat oleh mangsa lain (wanita) terhadap tertuduh berkenaan insiden serupa. Tertuduh masih tidak insaf walaupun sudah menjalani hukuman penjara atas kesalahan serupa,” katanya yang memaklumkan tertuduh mempunyai empat rekod lampau.

Tertuduh merayu hukuman penjara atau denda minimum kerana perlu menjaga ibu yang sakit.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian pengadu berjalan kaki dari pintu keluar BNM menuju ke Jalan Raja Laut melalui jejantas, tiba-tiba ditendang tertuduh dari belakang sehingga menyebabkan mangsa jatuh dan terduduk selain mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan punggung. Tertuduh terus bergegas ke arah bangunan lain.

Pada 9 November lalu, akhbar melaporkan tertuduh direman dua hari bagi membantu siasatan ekoran kejadian yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 14 saat tular di laman sosial sejak semalam.

Tertuduh pernah dipenjara tiga bulan kerana menendang seorang wanita yang bertugas sebagai setiausaha di Bukit Aman pada Julai 2016 malah mengulanginya terhadap seorang lagi kakitangan Bank Negara.