Sebaliknya Chin Chui Ling, 46, dan suaminya, Soh Chew Tong, 49, diperintah menjalani hukuman penjara maksimum 10 tahun selepas tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dipinda kepada Seksyen 304(b) iaitu menyebabkan kematian mangsa tanpa niat.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif yang bersidang bersama Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin selepas membenarkan rayuan akhir mereka.

Kedua-duanya disabitkan melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 24 tahun di premis No. 2190 Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 1 Januari dan 1 April 2012.

Keterangan kes menunjukkan perbuatan mereka menyebabkan wanita Kemboja itu mengalami kecederaan di telinga dan badan serta ditemui oleh pihak polis dengan berat badannya susut sehingga 26.1 kilogram.

Menurut laporan akhbar, mangsa bekerja dengan pasangan tersebut di sebuah kedai menjual peralatan logam sejak September 2011 dan mula didera sejak beberapa bulan selepas itu.

Mayat wanita itu ditemukan mati terlentang di atas katil dalam sebuah stor barang di tingkat dua premis perniagaan milik padangan itu pada pukul 4 pagi, 31 Mac 2012. - UTUSAN ONLINE