Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian selepas Hizmi Razli Abdul Rahim, 33, mengaku bersalah atas pertuduh­an dengan pengetahuan memberi sokongan kepada Daesh dengan melakukan sumpah setia (berbai’ah) melalui aplikasi Te­legram dalam kumpulan perbual­an ‘Gagak Hitam’ menggunakan nama “Abu Al- Fa­rish”.

“Mahkamah percaya kamu me­mahami dan mengetahui maksud sum­pah setia iaitu berbai’ah berdasarkan tahap kematangan dan umur kamu. Mahkamah memandang serius kesalahan memberi sokongan kepada pengganas. Ini bukannya satu perkara yang main-main.

“Saya harap hukuman yang dijatuhkan ini bukan sahaja dapat memberi pengajaran kepada kamu bahkan kepada masyarakat di luar sana,” katanya yang memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 21 September tahun lalu.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa melakukan perbu­a­t­an tersebut di Lot 365, Kampung Pulau Kapas, Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 12.37 tengah malam, 30 Mac tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izhanudin Alias mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk diguna bagi melakukan kesalahan itu.

Hizmi Razli yang memakai baju T berwarna hitam itu kelihatan tenang di dalam kadang tertuduh selepas mahkamah membaca keputusannya. Hari ini sepatutnya hari pertama perbicaraan sebelum tertuduh itu menukar pengakuan.

Terdahulu, peguam, Mohd. Hazrin Arif Wahab yang mewaki­li tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga termasuk tiga anak yang masih kecil selain menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Mengikut fakta kes, pada 21 September 2016, tertuduh telah ditangkap oleh sepasukan anggota polis dan hasil siasatan mendapati lelaki tersebut memberi sokongan kepada kumpulan pengganas melalui aplikasi Te­legram kumpulan ‘Gagak Hitam’.

Selepas selesai prosiding, kelihatan ahli keluarga Hizmi Razli memeluknya dan menangis teresak-esak berserta tiga anaknya yang turut hadir ke mahkamah.