Terdahulu, Majistret Izzudin Mohd Shukri menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal berbuat demikian selepas tertuduh Nor Faezah Hamzah, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Dia bagaimanapun gagal membayar denda itu dan perlu menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa merokok di kawasan larangan merokok iaitu di tempat letak kereta sebuah pasar raya di sini pada pukul 9.15 malam, 17 Mac 2017.

Dia didakwa mengikut Peraturan 11(1)(n) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan dihukum di bawah subperaturan 11(3) peraturan sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara minimum bermula daripada tarikh dia ditangkap dengan alasan perlu menyara seorang anak berusia 16 tahun.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Kesihatan negeri, Mohd. Nor Hussin memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Mengikut fakta kes, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Saiful Azuny Che Ya dan Pembantu Kesihatan Awam Md. Nasran Saffin dari Pejabat Kesihatan Kota Bharu mengadakan operasi menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di pasar raya itu pada hari kejadian.

Ketika rondaan dijalankan, tertuduh didapati menghisap rokok di kawasan tempat letak kereta pasar raya itu.

Saiful Azuny memaklumkan kesalahan yang dilakukan tertuduh dan mengambil puntung rokok untuk dianalisa di Jabatan Kimia, cawangan Kelantan.

Pada 7 Jun 2017, Saiful Azuny menerima perakuan daripada Jabatan Kimia Malaysia yang mengesahkan puntung rokok itu mengandungi tembakau. - UTUSAN ONLINE