TERTUDUH dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun dengan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/FIRDAUS HASSAN

Hakim Nazri Ismail men­jatuhkan hukuman berkenaan terhadap lelaki berusia 32 tahun itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Pada November lalu, tertuduh sama dihukum penjara 24 tahun dan sebatan 15 kali atas tuduhan merogol seorang lagi anak saudaranya berusia 15 tahun yang merupakan kakak kepada mangsa liwat tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja di sebuah hospital di sini didakwa meliwat remaja perempuan itu di sebuah rumah di Jalan Bayam, di sini, kira-kira pukul 9 malam antara Februari dan Mei 2016.

Tertuduh dibicarakan mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam tertuduh yang enggan namanya disiarkan oleh akhbar memohon hukuman ringan yang berjalan serentak dengan kes tertuduh sebelum ini atas alasan, anak guamnya itu telah insaf dan perlu menyara ibu berusia 60 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias bagaimanapun memohon hukuman berat untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai selain mengambil kira kepentingan awam kerana melibatkan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Mangsa yang kematian bapa kandung menganggap tertuduh seperti bapa sendiri namun tertuduh mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak ini, pihak pendakwaan memohon hukuman berat berjalan secara berasingan sebagai pengajaran,” katanya.

Hakim Nazri ketika menjatuhkan hukuman memerintahkan hukuman itu berjalan secara berasingan iaitu selepas tertuduh selesai menjalani hukuman rogol terdahulu.