Majistret Siti Hafiza Jaafar menjatuhkan hukuman tersebut terhadap K.K. Ravi (gambar), 34, yang melakukan kesalahan itu menerusi te­lefon bimbit jenis Oppo miliknya pada September 2016 di sebuah hotel di Taman Jubilee di sini.

Pertuduhan terhadapnya di­kemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau ke­dua-duanya.

Terdahulu, Irna Julieza memohon mahkamah menja­tuhkan hukuman berat terhadap tertuduh memandangkan ke­salahan tersebut merupakan satu kesalahan yang me­njijikkan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chiang Mei Wan yang mewaki­li Ravi pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang ringan terhadap anak guamnya kerana tertuduh masih menjaga kedua-dua ibu bapanya.

Menurut fakta kes, seorang wanita berusia 22 tahun membuat laporan polis selepas menyedari video dan gambar lucah yang dirakam tertuduh ketika mereka mempunyai hubungan kekasih tersebar melalui aplikasi WhatsApp.