Hakim Manira Mohd. Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas syarikat Jaya Gemilang Konsult Plt. selepas pengarahnya, Lee Ghim Peng, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap syarikat itu selesai dibacakan.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa memiliki perisian program komputer yang masih wujud pemiliknya di syarikat tersebut di premis Jaya Gemilang Konsult Plt, Nombor 12A-2, Jalan Radin Bagus 9, Bandar Baru Seri Petaling di sini pada pukul 11.30 pagi, 7 Jun 2018.

Pertuduhan terhadap syarikat itu dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1)(d) Akta Hakcipta 1987 dan dihukum mengikut Seksyen 41 (1)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua- duanya sekali.

Terdahulu, Ghim Peng yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan kesalahan itu merupakan kesalahan pertama selain syarikatnya juga telah membeli perisian asli yang berharga RM12,000.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman setimpal dengan alasan perbuatan itu boleh menjejaskan pendapatan negara. - UTUSAN ONLINE