Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Izham Ahmad Kur’nain, 21, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Muhammad Izham didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas telah mencuri lima kotak rokok jenama Dunhill bernilai RM85 milik sebuah kedai serbaneka di Jalan Hang Kasturi, Pasar Seni, di sini pada 12.15 pagi, 19 Mac 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran, bagaimanapun peguam Azi Azlin Zulkifli yang mewakili Muhammad Izham merayu hukuman denda minimum dengan alasan perbuatan itu merupakan kesalahan pertama anak guamnya.

“Anak guam saya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. Kes ini juga tidak melibatkan kecederaan dan senjata. Saya memohon hukuman denda paling minimum,” katanya.- BERNAMA