AHLI perniagaan K. Muniandy, 53, (kanan) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan perkataan "kiriman wang" pada pelekat iklan di premis perniagaannya tanpa kelulusan bertulis daripada Bank Negara Malaysia (BNM).--fotoBERNAMA

Hakim Adli Abdul Ghalib turut memerintahkan tertuduh, K. Muniandy, 53, dipenjara 12 bulan sekiranya dia gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai pemilik tunggal perniagaan Edelweiss MN Enterprise didakwa melakukan perbuatan tersebut di Bandar Sungai Pelek, Sungai Pelek, Sepang pada 16 Jan lepas.

Tertuduh yang ditangkap pada hari kejadian didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 dan dihukum mengikut Seksyen 23 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, hasil pemeriksaan di premis tersebut oleh pasukan serbuan mendapati pintu cermin premis berkenaan telah mempamerkan pelekat iklan mengandungi perkataan "Kiriman Wang ke Luar Negara".

Hasil semakan melalui sistem rekod Jabatan Pengawalan Perniagaan Perkhidmatan Wang BNM, mendapati tertuduh atau perniagaan Edelweiss MN Enterprise tidak pernah diberikan sebarang kelulusan daripada BNM untuk menggunakan perkataan "Kiriman Wang" berhubungan dengan perniagaannya.

Terdahulu, Muniandy yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung isteri yang tidak bekerja, ibu serta empat orang anak dengan dua daripadanya masih belajar.

Selain itu, tertuduh berkata dia tidak tahu bahawa perbuatannya itu merupakan satu kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari BNM, Edward Chan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.

”Aktiviti yang dijalankan tertuduh melibatkan pengaliran mata wang kita ke luar negara dan jika tidak dipandang berat, ia akan menjejaskan ekonomi negara," katanya. - BERNAMA