Hakim Mohd Surbaineey Hussain menjatuhkan hukuman terhadap Che Abdul Karim Che Hamid sebanyak RM900 bagi setiap pertuduhan selepas tertuduh mengaku mengaku bersalah terhadap kedua-dua kesalahan itu.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut dia boleh dikenakan hukuman penjara selama dua bulan.

Mengikut pertuduhan pertama, Che Abdul Karim didapati telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang kanak-kanak perempuan warga Thailand berusia 11 tahun pada 18 Jun lalu di Masjid Mukim Muno, Sungai Golok Narathiwat Thailand tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar atau Hakim Syarie.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen Seksyen 19 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam No.6/2002 Negeri Kelantan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 40(2) enakmen yang sama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah melangsungkan perkahwinan poligami dengan kanak-kanak tersebut pada tarikh dan tempat sama tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar atau Hakim Syarie.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Enakmen sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie (kanan), Nor Azizi Abdul Rahman yang memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal bagi kesalahan yang dilakukan selepas mengambil kira kehadiran dan pengakuan salah tertuduh. - UTUSAN ONLINE