Hakim Manira Mohd. Nor menjatuhkan hukuman itu selepas Tan Ai Wei, 40, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dilakukan di sebuah premis, Kompleks Kenanga Wholesale City, Jalan Gelugor di sini kira-kira pukul 12.20 tengah hari, 20 Oktober 2015.

Bagi kedua-dua pertuduhan, wanita itu selaku pemilik perniagaan V & V Unique Handbags didakwa dalam kawalannya untuk pembekalan sebanyak 83 utas beg jenama Louis Vuitton (LV) dan 25 utas beg jenama Gucci yang menggunakan perihal dagangan palsu seolah-olah barangan tersebut tertakluk dengan cap dagangan berdaftar iaitu Louis Vuitton dan Gucci.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(B) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), K. Selvarajoo memohon hukuman setimpal atas alasan tindakan OKS telah menjalankan perniagaan dengan menjual barangan tiruan menyebabkan pengguna terpedaya selain menjejaskan imej negara dengan tempat lambakan barangan tiruan.

“Kegiatan penjualan barang tiruan ini boleh menyebabkan pelabur beralih ke negara lain kerana isu harta intelek dan kreativiti tidak dilindungi. Hukuman literal sahaja boleh mengurangkan aktiviti penjualan barangan tiruan di negara kita yang semakin berleluasa,” katanya.

Ai Wei yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan dia tidak lagi berniaga kerana telah bekerja di sebuah kilang, perlu menanggung dua anak selain tidak mampu membayar denda yang tinggi. - UTUSAN ONLINE