MOHAMMAD TEO KAI SENG ABDULLAH (kiri) dan Sartika (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, semalam atas pertuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen.

Mohammad Teo Kai Seng Abdullah, 44, dijatuhi hukuman itu selepas pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Mahkamah bagaimanapun me­lepas dan membebaskan isteri Mohammad Teo, Sartika, 37, selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadap wanita Indonesia berstatus penduduk tetap berkenaan yang sebelum itu membuat pengakuan tidak bersalah.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, pasangan yang juga sebagai rakan kongsi kepada perniagaan Famirah Sukses Wisata didakwa menjalankan perniagaan perkhidmatan wang iaitu perniagaan pengiriman wang tanpa le­sen yang dikeluarkan bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang (MSB) 2011 (Akta 731).

Bagi semua perbuatan yang dilakukan di empat premis di Pasir Gudang, Skudai, Johor Bahru dan Senai itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta MSB 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(4) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Mohammad Teo yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda yang ringan memandangkan dia menanggung ibu dan mertuanya selain tiga anak yang masih sekolah.

“Saya mempunyai seorang anak berusia 13 tahun, manakala dua lagi adalah pasangan kembar berusia lima tahun. Isteri saya kini sedang hamil tujuh bulan, juga anak kembar,” katanya.

Pendakwaan yang dijalankan barisan pegawai pendakwa daripada Bank Negara Malaysia (BNM) memohon mahkamah mengambil kira keseriusan kes itu yang mana pengaliran wang ke luar negara boleh mempengaruhi nilai mata wang Malaysia dan hukuman yang dijatuhkan adalah untuk dijadikan pengajaran buat masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

Mahkamah kemudian menja­tuh­kan hukuman penjara sehari dan denda RM50,000 bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Pada 26 April lalu, BNM dalam satu kenyataan dalam laman web rasminya menyatakan ada menyerbu empat premis dimiliki Famirah Sukses Wisata iaitu syarikat yang disyaki menjalankan aktiviti perniagaan runcit pengiriman wang secara haram tanpa lesen.

Dalam serbuan itu, BNM menyita dokumen yang berkaitan dan wang tunai berjumlah RM139,922.89 untuk tujuan siasatan.