Tertuduh, Zaiton Man, 48, dari Felda Keratong 6 di sini bagaima­na­pun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Mengikut kertas pertuduhan, Zaiton atau lebih dikenali de­ngan panggilan Kak Ton didakwa menawarkan pakej umrah yang tidak wujud hingga memperda­yakan kesemua mangsa untuk me­nyerahkan wang secara tunai dan memindahkannya ke akaun bank miliknya.

Tertuduh yang juga suri rumah melakukan kesalahan itu di Felda Keratong, Bandar Muadzam Shah dan Bandar Tun Razak dari Di­sember 2016 hingga Oktober 2017.

Zaiton didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Syamsul Kahar Ahmad Nadri, manakala tertuduh diwakili peguam Osman Abdullah.

Najwa membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,500 dan menetapkan tarikh 15 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum pertuduhan bermula, seorang lelaki dipercayai suami kepada tertuduh mengugut untuk menyaman wartawan yang hadir bagi membuat liputan kes berkenaan sekiranya gambar isterinya disiarkan.

Keadaan itu menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara petugas media dan lelaki ber­kenaan sehingga menarik perhatian orang ramai yang hadir di mahkamah.

Terdahulu, akhbar melaporkan 48 individu termasuk peneroka Felda Keratong membuat laporan polis di Balai Polis Muadzam Shah di sini selepas mendakwa kerugian kira-kira RM300,000 ditipu wanita dikenali sebagai 'Kak Ton' yang menawarkan pakej umrah.

Difahamkan, Kak Ton adalah wakil syarikat berpangkalan di Kamunting, Perak dan syarikat itu pula bekerjasama dengan beberapa agensi umrah lain untuk menghantar individu terbabit mengerjakan umrah.