Badaruddin Mohamed, 53, yang kini bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Peranca­ngan USM membuat pengakuan itu selepas pertuduhan selesai dibacakan kepada­nya di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Mengikut pertuduhan, Badaruddin didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi adik kandungnya apabila meluluskan syarikat MK Usahaniaga (M) Sdn. Bhd. milik Mustafa Kamal Mohamed dalam pembekalan pelbagai jenis peralatan.

Antara peralatan yang di­bekalkan adalah alat biometrik, cenderahati, mesin pengimbas, walkie talkie, kamera digital, tripod, kamera Gopro dan sistem audio.

Kesemua kesalahan itu di­dak­wa dilakukannya yang juga Ketua Kluster Penyelidikan Pelancongan Lestari USM antara 5 September 2011 hingga 23 November 2012.

Pertuduhan terhadapnya di­ke­mukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amer Abu Bakar Abdullah mengikut Subseksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Subseksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 ba­gi setiap pertuduhan, namun dibantah oleh peguam Rahma­tullah Baharudeen yang mewa­kili Badaruddin atas alasan anak guamnya menyara isteri serta empat anak dengan tiga daripada mereka masih bersekolah dan seorang menuntut di universiti.

Mahkamah kemudian membenarkan Badaruddin dibebaskan dengan jaminan RM24,500 berserta empat penjamin dan pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan sebutan kes pada 29 November ini bagi serahan dokumen.