Hairul Nizan Mhd. Ideris, 36 yang bertugas di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat agama Islam berkenaan pada 1 Februari 2016.

Mengikut pertuduhan, Hairul Nizan didakwa menggunakan jawatannya untuk mengemukakan permohonan dan syor bagi pembekalan oleh syarikat Prisma Jaya Kini Resources milik abang kandungnya bagi Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Hulu Langat yang berjumlah RM10,000.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Mohammed Heikal Ismail menawarkan jaminan RM20,000 manakala peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM5,000 dengan alasan anak guamnya merupakan pekerja kontrak kerajaan dengan pendapatan hanya RM3,000 sebulan serta mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.

Hakim Rozilah Salleh kemudian membenarkan Hairul Nizan dibebaskan dengan jaminan RM20,000 berserta seorang penjamin dan tertuduh diperintah melapor diri di pejabat SPRM negeri setiap bulan sebagai syarat jaminan sementara menunggu sebutan kes pada 4 September ini.