Tertuduh, Amirul Faizal Amiruddin, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Pertuduhan pertama, Amirul didakwa merogol mangsa berusia 22 tahun dan meletakkan mangsa dalam ketakutan di sebuah kawasan di bawah pokok di belakang Apartmen Kristal View, Jalan Keluli, Seksyen 7, di sini antara pukul 8.30 malam dan 10.30 malam pada 1 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke­­­dua pula, Amirul di­dakwa mengikut Seksyen 377 (c) kanun sa­ma, iaitu melakukan seks luar tabii terhadap pelajar terbabit, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa me­lakukan samun bersenjatakan pisau ke atas mangsa yang sama dengan merampas sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM100 milik mangsa.

Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 392 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda serta Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman sebatan.

Amirul didakwa me­­lakukan kesemua perbuatan tersebut di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Basri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 4 Di­sember ini sebutan semula kes.

Khamis lalu, akhbar melaporkan seorang pelajar universiti awam dirogol dan disamun seorang lelaki dalam satu kejadian berhampiran sebuah kilang di Seksyen 7 di sini.