Zaulkefli Ahmad,56, yang be­kerja sendiri membuat penga­kuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Suzana Hussin manakala tiga lagi pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menghantar sebanyak 33 gambar pornografi kanak-kanak tersebut melalui WhatsApp kepada ibu mangsa yang merupakan warga Indonesia berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pembantu rumah.

Bapa dua anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Jalan Perdana 6/3, Pandan Perdana, Hulu Langat dekat sini antara 23 Februari dan 9 Mac lalu.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan sebatan minimum tiga kali.

Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, M.S. Arunjothy dan Nor Hashimah Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan pertuduhan itu tidak boleh dijamin selain mangsa adalah kanak-kanak, kesalahan yang dilakukan adalah serius serta tertuduh menghadapi banyak pertuduhan.

Zaulkefli yang tidak diwakili peguam bagaima­napun memohon diberikan jaminan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pada 13 Mac lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun parah akibat pendarahan serius di kepala dipercayai didera kenalan ibunya di sebuah rumah di Pandan Perdana di sini dan mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri kemudian dihantar ke Hospital Ampang oleh dua lelaki tempatan.

Hasil siasatan pihak polis mendapati ibu kanak-kanak itu menye­rahkan anaknya kepada suspek berusia 56 tahun untuk dijaga sementara dia bekerja sebagai pembantu rumah di Kampung Cheras Baru.