Siti Zabedah Kassim

Pemilik nama sebenar Siti Zabedah Kasim, 54, didakwa menghalang tugas Siti Nor Jihan Saleh @ Md. Ghazali, 36, daripada menjalankan tugasnya di dewan tingkat dua, sebuah hotel di sini pada pukul 10.30 malam, 3 April 2016.

Wanita tersebut didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mohd. Ashif manakala Siti Kasim diwakili peguam-peguam Roger Chang Weng Keng dan Rajsurian Pillai.

Siti Hajar tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap wanita itu, bagaimanapun barisan peguam memohon anak guam mereka dibebaskan dengan bon jaminan tanpa cagaran dengan alasan dia memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan tiada kemungkinan untuk melarikan diri pada prosiding akan datang.

Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid membenarkan Siti Kasim diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan. Siti Kasim membayar jaminan.

Terdahulu, ketika kes itu dipanggil, Rajsurian memohon mahkamah membenarkan anak guamnya berdiri di luar kandang tertuduh dengan alasan untuk menghormati profesion Siti Kasim sebagai peguam.

Siti Kasim kemudian berdiri di luar kandang sepanjang prosi­ding tersebut selepas permohonan peguamnya dibenarkan oleh mahkamah.

Kira-kira 30 individu dipercayai penyokong peguam itu hadir dan berkumpul di lobi mahkamah se­awal pukul 8.45 pagi sebelum naik bersama tertuduh.

Tahun lalu, satu klip video wa­nita itu memarahi beberapa pegawai Jawi menjadi tular selepas pasukan penguatkuasa berkenaan dipercayai menyerbu satu majlis yang turut dihadiri tertuduh.