Empat pegawai pemulihan dan seorang tenaga pengajar di Penjara Wanita Edna Mahan di Clinton didakwa di hadapan panel juri baru-baru ini terhadap lebih 26 pertuduhan berkaitan penderaan seksual ke atas lapan banduan wanita.

Pegawai-pegawai yang terlibat ialah Jason Mays, 43; Ahnwar Dixon, 38; Brian Ambroise, 33, dan Thomas Seguine, 34.

Mays menjadi pegawai penjara sejak 2005 sementara Dixon telah bekerja di situ sejak 2004. Ambroise dan Seguine pula telah berkhidmat di Jabatan Penjara New Jersey masing-masing sejak 2013 dan 2008.

“Kesemuanya telah didakwa secara rasmi atas tuduhan salah laku dan pertuduhan berkaitan penderaan seksual.

“Mays dan Dixon turut menghadapi pertuduhan tambahan iaitu didakwa melakukan kesalahan yang melanggar tugas hakiki mereka sebagai penjawat awam terhadap beberapa mangsa,” menurut kenyataan dari Pejabat Pendakwa Raya Hunterdon County.

Dakwaan penderaan itu didedahkan selepas siasatan bersama oleh Unit Mangsa Khas Pendakwa Raya Hunterdon County dan Bahagian Siasatan Khas, Jabatan Penjara New Jersey.

Menurut Pendakwa Raya Anthony Kearns, kerjasama tersebut adalah penting bagi kejayaan siasatan berkenaan dan beliau menyanjungi dedikasi yang ditunjukkan oleh Jabatan Penjara untuk menegakkan keadilan.

Lelaki kelima, Joel Herscap yang berusia 55 tahun, berkhidmat di penjara berkenaan sehingga dia ditangkap pada Mei tahun lalu. Dia telah dilantik sebagai tenaga pengajar di pusat tersebut sejak September 2003.

Herscap ditangkap pada 31 Oktober tahun lalu dan mengaku bersalah atas tuduhan melakukan hubungan seks dengan seorang banduan, telah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

“Kepercayaan awam telah dicemari dan masyarakat telah dikhianati apabila seorang pegawai penguat kuasa undang-undang telah mencabuli sumpah taat setia yang telah diikrarkan.

“Adalah jelas, wanita-wanita itu telah dijadikan mangsa oleh Mays, Dixon, Ambroise, Seguine dan Herscap yang mengkhianati mereka,” kata Kearns.

Keempat-empat pegawai itu telah dibebaskan dengan jaminan setelah mereka didakwa di mahkamah.

Jabatan Penjara New Jersey menyifatkan penderaan seksual itu sebagai ‘bukan isu jantina tetapi lebih kepada isu penyalahgunaan kuasa dan isu kekurangan profesionalisme’, menurut New York Post.

Lebih daripada 600 banduan ditempatkan di dalam penjara wanita itu, yang turut menempatkan sebanyak 271 kakitangan lelaki dan 191 kakitangan wanita bertugas, menurut statistik Jabatan Koreksional.