Farizah Nekmat, 37, menghadapi 69 tuduhan manakala Normaidzatulaqma Iskandar, 36, didakwa atas 166 tuduhan mencuri tambah nilai beberapa keping kad yang berharga di antara RM1 dan RM100.


Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada masa yang berlainan di antara 2 Februari tahun lalu dan 24 April lalu di Aras 2, Cawangan Pentadbiran, Sektor Pengurusan, Jabatan Audit Negara, Persiaran Perdana, Presint 2 di sini.


Majistret Azizah Ahmad membenarkan Farizah diikat jamin RM8,000 manakala Normaidzatulaqma sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin masing-masing.


Kedua-dua tertuduh diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan sebagai syarat jaminan tambahan sehingga kes selesai.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.


Mahkamah menetapkan kes itu disebut pada 5 Disember ini bagi memberi peluang mereka melantik peguam. - UTUSAN ONLINE.