K. Pirabu (kiri) dan S. Thinagaran menghadapi pertuduhan menyebabkan kematian dua beradik di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Pembantu stor, K. Pirabu, 33, dan pemandu lori, S. Thinagaran, 35, hanya mengangguk tanda faham selepas kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang memakai baju dan seluar lokap berwarna jingga itu kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mengikut pertuduhan, dua rakan itu bersama-sama de­ngan dua yang masih bebas didakwa telah membunuh Sulaiman [email protected], 44, dan adiknya, Abulatiff, 36, di perkarangan Blok B, Flat Damansara Bistari di sini, antara pukul 2 dan 3 pagi, 11 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim mengikut Sek­­syen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama lima orang lain, sebagai ahli perhimpunan menyalahi undang-undang dan menggunakan senjata berbahaya iaitu topi keledar untuk mencederakan Abdul Rashid Arifin di tempat, masa dan tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 146 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 148 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes. Kedua-dua tertuduh diwakili peguam M. Baskaran.

Akhbar sebelum ini me­laporkan kedua-dua bersaudara itu dibunuh selepas berlaku pertengkaran dengan kenalan mereka yang turut menyertai majlis hari jadi yang berlangsung di sebuah khemah di pangsapuri itu.