Kam Wan Hung, 54, Tan Siant Yiang, 34, Pang Bak Long, 47, dan Wong Kok Chong, 42, yang merupakan ahli perniagaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Hakim-hakim Rozina Ayub, Azman Ahmad dan Azura Alwi.

Siant Yiang didakwa atas dua pertuduhan manakala Bak Long pula berhadapan dengan tiga pertuduhan, Wan Hung dan Kok Chong pula masing-masing didakwa atas satu pertuduhan.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amira Sariaty Zainal, Nor Diana Najwa Nor Azwa dan Ashraf Tahir manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam-peguam Edwin Johnson Navis, Tan Cheng Yee dan Mohd. Faizi Che Abu.

Semua tertuduh adalah antara belasan individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes menerima wang sogokan untuk melindungi premis urut di sekitar ibu kota. - UTUSAN ONLINE.