Turut didakwa abangnya, Datuk Abdul Latif, 61. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd., Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan projek-projek pembinaan jalan raya di Perak, Kedah dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Baru (LPPB) serta kerja naik taraf Jalan Persekutuan.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di dua bank CIMB Bank cawangan Menara AUB dan Affin Bank Pusat Bandar Puchong, antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Ahli Parlimen Baling itu juga didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat buah syarikat kontraktor, Menuju Asas Sdn. Bhd., Mangkubumi Sdn. Bhd., Pintas Utama Sdn. Bhd. dan AVP Engineering (M) Sd. Bhd. di antara 8 Mac 2010 dan 9 Januari 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, abangnya, Datuk Abdul Latif, 61, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram serta Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, M. Athimulan dan Hisyam Teh Poh Teik.
 Abdul Azeez dibenarkan ikat jamin RM800,000 dan Abdul Latif diikat jamin RM500,000 masing-masing dengan seorang penjamin.