Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau itu bersyukur kerana mendapat keadilan selepas dua tahun berdepan dengan tuduhan tersebut bersama-sama anaknya, Ahmad Fauzan Hatim serta perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub, 46,

“Saya bersyukur kepada Allah, ini adalah keadilan daripada pihak mahkamah yang memberikan kebebasan kepada saya dan anak saya. Saya diberikan kesabaran yang kuat, (ini) adalah hikmah terbaik,” katanya ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.

Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim serta Amir Shariffuddin dilepas dan dibebaskan daripada 37 pertuduhan rasuah oleh Mahkamah Sesyen di sini pagi ini.

Abdul Latif merakamkan terima kasih kepada semua ahli keluarga dan kenalannya atas segala sokongan terhadapnya sepanjang kira-kira dua tahun kes itu berjalan.

Ditanya apa perancangan selepas ini, beliau berkata, masih tidak mempunyai apa-apa perancangan setakat ini selepas berehat selama dua tahun daripada kerajaan dan terlibat dengan politik sebelum ini.

“Perancangan saya ketika ini hanya untuk bersama-sama keluarga,” katanya yang ceria dan gembira dengan keputusan tersebut.

Terdahulu ketiga-tiga dilepas dan dibebaskan daripada 37 pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram antara 2013 hingga 2016.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwa raya gagal menimbulkan kes prima facie pada akhir pendakwaan.

Kamarudin dalam penghakiman berkata, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan berkenaan selepas mendapati keterangan pembelaan tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas pendakwaan.

Pihak pembelaan juga berjaya mematahkan elemen ‘anggapan’ di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan tertuduh di lepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Ini termasuk 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah di bawah Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibacakan bersama Seksyen 16(a)(B).

Selain itu Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Keputusan itu selepas mengambil kira 13 alasan penghakiman yang dibentangkan Kamarudin pada prosiding diakhir kes pendakwaan yang berlangsung kira-kira 15 minit.

Kes dikendali Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Tengku Amir Zaki.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili 11 peguam yang diketuai Datuk Hasnal Redzuan Merican serta Datuk Sallehudin Saidin dan Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Mahkamah mengarahkan wang jaminan dipulangkan semula selain memberitahu pihak pendakwaan rayuan boleh dibuat dalam tempoh 14 hari. - UTUSAN ONLINE