Muhammad Umair Alfawwaz Mohd. Gunawan, 23, berkata, dia yang ketika itu tidur di tingkat satu bangunan tahfiz itu dikejutkan oleh rakannya dikenali sebagai Ustaz Huzaifah pada kira-kira pukul 5.30 pagi, 14 September 2017.

Selepas dikejutkan, menurut saksi itu, dia terus bergerak keluar ke balkoni dan menoleh ke atas untuk melihat keadaan rua­ngan bilik asrama yang dijilat api.

“Saya lihat api marak di tingkat dua dan waktu itu baru saya tahu berlaku kebakaran di tingkat atas. Saya cuba naik ke atas untuk menolong pelajar-pelajar lain bagaimanapun terpaksa dibatalkan kerana terhalang de­ngan bahang panas.

“Saya kemudian turun ke tingkat bawah dan membantu beberapa pelajar yang berjaya menyelamatkan diri dengan menggelongsor menggunakan batang paip,” katanya ketika disoal oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam perbicaraan terhadap dua remaja lelaki yang didakwa membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz itu.

Dua remaja terbabit didakwa bersama-sama melakukan perbuatan tersebut di pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September 2017.

Kedua-duanya yang kini berusia 17 tahun dan diwakili peguam Haijan Omar ma­sing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sepanjang berkhidmat kira-kira setahun di pusat tahfiz berkenaan, saksi pendakwaan ke-24 itu memaklumkan, pihak pengurusan tidak pernah me­lakukan latihan kebakaran selain hanya dua alat pemadam api disediakan di kawasan ba­ngunan.

Perbicaraan di hadapan Ha­kim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.