Peguam K. Vinod yang mewakili Deepak ketika ditemui pemberita berkata, notis bagi memasukkan semula lapan individu tersebut ke dalam kes saman Santamil Selvi dan tiga anaknya itu selaku pihak plaintif telah diserahkan, tahun lalu.


Menurutnya, dalam saman pada 13 Julai 2017, pihak plaintif telah menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, 
Datin Seri Rosmah Mansor; adiknya Datuk Mohd. Nazim dan Datuk Ahmad Johari; peguam Tan Sri Cecil Abraham, Sunil Abraham, Arulampalam Mariampillai, Deepak serta Pesuruhjaya Sumpah, Zainal Abidin Muhayat sebagai pihak defendan.


Bagaimanapun, ujar peguam itu, kesemua defendan kecuali anak guamnya telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut.


“Pada Julai lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan lapan mereka untuk membatalkan saman berkenaan. Jadi mereka kini bukanlah lagi pihak defendan dalam saman ini.


“Bagaimanapun, sekarang kita bawa mereka masuk semula untuk berkongsi liabiliti, kerugian atau beban kewangan (berbangkit daripada kes saman ini). Jadi, mahkamah tetapkan 29 Mac ini untuk mendengar permohonan bagi mendapat kebenaran untuk menjadikan mereka sebagai pihak ketiga,” katanya selepas prosiding pengurusan kes di kamar Hakim Datuk Azimah Omar. 


Santamil Selvi bersama tiga anaknya, B. Kishen, B. Menaga dan B. Reeshi memfailkan saman bagi pihak mendiang dengan menamakan kesemua individu sama sebagai defendan.


Ia bagi menuntut kerugian yang ditanggung mereka sepanjang berada di Chennai, India selama 56 bulan daripada 4 Julai 2008 sehingga Balasubramaniam, 53, meninggal dunia kerana serangan jantung pada 15 Mac 2013. - UTUSAN ONLINE.