Peguam, Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Datuk Seri Anu­ar Ghazali, 47, memaklumkan demikian ketika kes itu disebut di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Wan Azmir sehubungan itu memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan representasi tersebut.

Hakim Manira Mohd. Nor kemudian menetapkan 27 Februari ini bagi sebutan semula untuk mengetahui keputusan representasi itu dan pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim.

Pada 15 Disember tahun lalu, Anuar mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap lima keping cek berjumlah RM306,000 di syarikat, CarrierCorp Petroleum Sdn. Bhd., D-09-10, Jalan PJU 1A/7, Ara Damansara di sini, antara pukul 8 pagi dan 5 petang, 26 November dan 23 Disember tahun lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 berserta seorang penjamin.

Anuar yang memakai baju kemeja biru dan berseluar warna hitam segera keluar bersama peguamnya menggunakan laluan lokap dengan menutup wajahnya menggunakan jaket apabila menyedari gambarnya telah dirakam oleh jurugambar.