Turut didakwa di mahkamah, menantu lelakinya yang juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan membenarkan nominee (penama) yang tidak diberi kuasa untuk menjalankan perolehan saham ke dalam akaun peribadi miliknya,

Datuk Mohd. Nor Abdul Wahid, 66 dan Dr. Azuzay Zamani, 43, yang bertugas di sebuah klinik di Ampang masing-masing membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahazan Mat Taib dan Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Dalam prosiding di hadapan Mahazan, Mohd. Nor yang ketika itu merupakan Pengarah Eksekutif, Three-A Resources Bhd. telah memperoleh 500,000 unit saham syarikat itu melalui akaun sistem depositori milik Azuzay.

Bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa memperoleh unit saham tersebut melalui perolehan maklumat sulit iaitu maklumat mengenai cadangan penggabungan perniagaan syarikat Three-A Resources dan Wilmar International Limited yang tidak boleh didapati secara umum.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Securities Bhd., Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini pada 5 Oktober 2009. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007(Akta 671) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 188(4) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Habibah, Azuzay didakwa sebagai pemilik akaun sistem depositori telah membenarkan bapa mentuanya yang bukan nominee diberi kuasa untuk menjalankan perolehan 500,000 unit saham syarikat Three-A Resources di dalam akaun tersebut di tempat dan tarikh sama.

Azuzay didakwa mengikut Seksyen 29A Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Akta 453) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 51 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti (SC), Mohd. Izuddin Mohamed mencadangkan jaminan masing-masing RM300,000 dan RM200,000 de­ngan seorang penjamin dan memohon syarat tambahan kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport mereka ke mahkamah.

Peguam, Wan Azmir Wan Majid yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira latar belakang anak guamnya (Mohd. Nor) dalam bidang kewa­ngan dan memegang jawatan pe­ngarah di beberapa syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Mohd. Nor juga memberi kerjasama baik kepada pihak suruhanjaya dan hadir ke mahkamah hari ini walaupun arahan dite­rima melalui satu panggilan te­lefon. Menantunya juga memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa,” katanya.

Kedua-dua mahkamah membenarkan Mohd. Nor dan Azuzay diikat jamin masing-masing RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan ke mahkamah serta menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes.