Lelaki berusia 38 tahun itu didakwa menipu kira-kira enam individu termasuk beberapa pemilik syarikat menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM1,678,404 di beberapa lokasi sekitar Klang di antara September dan November tahun lalu.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, isteri lelaki terbabit, N. Bavani, 31, turut mengaku tidak bersalah atas 23 tuduhan bersubahat dengan suaminya itu melakukan perbuatan tersebut sehingga menyebabkan ke­semua mangsa mendepositkan wang ke dalam akaunnya.

Wanita terbabit didakwa mengikut Seksyen 420 dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau tidak melebihi 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh pernah dikenakan waran tangkap bagi kes serupa selepas tidak menghadirkan diri ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

“Namun, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin, saya mencadangkan jaminan sebanyak RM25,000 bagi setiap pertuduhan,” kata Siti Fatimah.

Peguam bela pasangan itu, P. Visnuvarman bagaimanapun memohon jumlah wang jamin itu dikurangkan memandang­kan Kamaleshwaran menanggung keluarganya dan isterinya masih menyusukan anak mereka yang masih kecil.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menetapkan jaminan RM270,000 bagi Kamaleshwaran manakala isterinya diikat jamin berjumlah RM115,000 ma­sing-masing dengan seorang penjamin.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Disember ini.