Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas murid tahun tiga itu di sebuah rumah, Blok 7, Pangsapuri PKNS, Jalan 4M, Ampang Jaya, dekat sini kira-kira pukul 4 petang, awal tahun ini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan sehingga dua kali.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim tidak mencadangkan jaminan ekoran tertuduh mempunyai hubungan kekeluargaan dan mengetahui tempat tinggal mangsa selain kes ini adalah serius namun peguam M.K. Thas memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi dan gout serta baru menjalani pembedahan pintasan jantung.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Balai Polis Ampang pada setiap bulan, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Warga emas itu dibebaskan setelah menantu lelakinya membayar wang jaminan berkenaan.