Datuk Maimunah atau nama sebenarnya Tran Thi Mai, 41, sebagai ejen me­nguruskan lesen kapal kargo bagaimanapun mengaku ti­dak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Me­layu di hadapan Hakim Madihah Harullah memandangkan tertuduh mengaku fasih dalam bahasa tersebut selepas 17 tahun menetap di negara ini.

Mengikut pertuduhan per­tama, tertuduh didakwa secara rasuah memberi RM300,000 kepada Muhammad Sani Abdullah, 31, bagi pihak Pengarah Maritim Daerah Sedili, Kota Tinggi, Johor, Kapten Amran Daud, 56.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk melepaskan tiga bot nelayan Viet­nam bernombor BWFSYA 3, KNF7636 dan ALYA 5 yang ditahan Maritim Ma­laysia kerana disyaki men­ceroboh perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.

Ibu empat cahaya mata itu didakwa melakukan perbuatan itu di Hot Gossip Cafe Hotel Park Royal, Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, di sini antara pukul 6.30 petang dan 7.30 petang, 2 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Thi Mai didakwa memberi RM50,000 kepada Muhammad Sani bagi pihak Kapten Amran sebagai balasan bagi melepaskan sebuah bot nelayan Vietnam bernombor KG 93397 TS yang ditahan kerana menceroboh perairan Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Restoran Starbuck di sebuah pusat beli-belah Pearl Point, di sini kira-kira pukul 4 petang, 12 Mei lalu.

Kedua-dua pertuduhan di­kemukakan mengikut Sek­syen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pegawai pendakwa dari SPRM, Wan Ahmad Nizam Wan Omar tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh warga asing namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan memohon jaminan RM500,000 dengan dua penjamin warga tempatan.