Tertuduh, Datin Nabila Sanusi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, pengarah syarikat itu diamanahkan dengan wang syarikat telah melakukan pecah amanah dengan membuat tuntutan palsu yang menyebabkan syarikat mengalami kerugian sebanyak RM5 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat Kamuja Bullion Resources Sdn. Bhd, Diamond Kompleks Bangi Business Park, Jalan Medan Bangi, Bandar Baru Bangi di sini 27 November 2015 hingga 14 Jun 2016.

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah selepas terdapat transaksi pengeluaran wang berjumlah RM5 juta pada 26 November 2015 yang tidak dijustifikasikannya sebagai pengarah syarikat hasil daripada audit perakaunan syarikat.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Mahkamah kemudian membenarkan dia dijamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Mac depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE