Penyelesaian tersebut direkodkan oleh Hakim M. Gunalan selepas Yuhasni Mohd. Yusoff membuat permohonan maaf kepada Abdul Walid pada 7 Disember lalu.


Dalam perintah persetujuan tersebut, Yuhasni yang dinamakan sebagai pihak defendan membacakan kenyataan tersebut di mahkamah itu.


Perintah persetujuan itu menyebut, Yuhasni mengakui bahawa dia memahami dakwaannya itu telah menyebabkan rasa malu dan keresahan kepada Abdul Walid selaku pihak plaintif. 


Yuhasni yang mengakui membuat kenyataan tersebut tanpa berfikir panjang sehubungan itu memohon maaf tanpa sebarang syarat dan meluahkan rasa kesalnya kepada pihak plaintif atas kesengsaraan mental, kerugian kesulitan yang dialaminya serta syak wasangka yang timbul ekoran kenyataan tersebut. 


Rentetan pernyataan maaf itu, Abdul Walid juga tidak akan meneruskan aduan qazaf bertarikh 6 Disember lalu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Putrajaya terhadap pekerja kilang beranak lima itu. 


Pihak plaintif yang diwakili firma guaman, Tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co. telah menyaman defendan untuk menuntut ganti rugi RM1 juta atas trauma mental serta emosi yang dialami ekoran dakwaan tersebut.


Turut dituntut adalah perintah injunksi kekal bagi menghalang defendan daripada terus memfitnahnya dan permohonan maaf tanpa syarat daripada defendan. - UTUSAN ONLINE