Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian terhadap Mustaza Abdul Rahman, 30, selepas mendapati pihak pembe­laan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hakim Nordin dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati keterangan tidak bersumpah tertuduh dari kandang tertuduh, menunjukkan penafian semata-mata.

Beliau berkata, tiada sebarang keterangan yang menyokong fakta penting berhubung dakwaan tertuduh yang telah kehilangan dua unit telefon bimbit dan salah satu kad sim telefon berkenaan telah diceroboh dengan menyertai kumpulan pengganas di dalam aplikasi Telegram.

Menurut beliau, fakta pen­ting tersebut juga tidak diberitahu kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut serta tiada sebarang keterangan sokongan lain termasuk laporan polis, sekali gus tidak membantu pembelaan tertuduh.

“Sebagai anggota polis, tertuduh sewajarnya menjaga keamanan negara, bagaimanapun dia telah mengenepikan amanah yang diberikan dan sebaliknya terlibat dengan kegiatan pengganas,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, Mus­taza didakwa memberi sokongan ke­pada perbuatan pengganas me­libatkan penggunaan bahan le­tupan dengan niat melanjutkan suatu perjuangan ideologi bagi mengugut orang awam di Malaysia serta melakukan sumpah setia dengan kumpulan berkenaan.

Kedua-dua perbuatan menyo­kong itu dibuat melalui aplikasi Telegram dalam telefon bimbit jenis iPhone 6 Plus miliknya.

Dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(b) dan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak me­lebihi 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.

Mustaza yang diwakili peguam Farida Mohammad turut didakwa dengan sengaja tidak memberi sebarang maklumat berkenaan kesalahan di bawah Seksyen 130G (c), Seksyen 130J(1)(b) dan 130J (1)(a) kanun sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Mo­hamad Mustaffa P. Kunyalam mengemukakan pertuduhan me­ngi­kut Seksyen 130M kanun sama yang memperuntukkan huku­man­ penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 Mac dan 29 Julai tahun lalu di rumah No. G7-1-1, Blok Iksora, Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah.