AHMAD FARIS ZULKEFLI
AHMAD FARIS ZULKEFLI

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman terhadap Mohammad Firdaus Abdullah, 27, dan memerintahkannya bermula dari tarikh tangkap iaitu 4 Ogos tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Firdaus didakwa atas tiga pertuduhan memiliki barangan berkaitan kumpulan Daesh dan al-Qaeda iaitu 123 video, 83 keping gambar yang ditemui di dalam telefon bimbit dan cakera keras serta sebuah buku bertajuk ‘Tarbiyah Jihadiyah’

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu Taman Muafakat Utama dan Taman Suria Muafakat Utama, Larkin, Johor antara pukul 6.55 petang dan pukul 8.25 malam, 4 Ogos 2016.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak barang berkenaan.

Mohammad Firdaus juga didakwa atas dua pertuduhan telah memberi sokongan kepada perbuatan pengganas iaitu serangan bom di Kelab Malam Movida di Puchong, dan cadangan serangan ‘dron’ ke atas Putrajaya serta Bukit Aman dan sebuah kuil di Bukit Jalil melalui aplikasi Telegram ‘amanah (phb) vs pas) menggunakan nama Jengking Malaya’.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) kanun sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J (1) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas harta yang telah digunakan atau diniatkan melakukan kesalahan itu.

Sementara itu, dia juga didakwa menerima arahan daripada seorang ahli kumpulan pengganas Daesh, Muhammad Fudhail Omar, 27, menerusi aplikasi Telegram atas nama ‘Jengking Malaya’ untuk melakukan perbuatan pengganas pada pukul 3.38 pagi, 25 Mac tahun sama.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Subseksyen 130FA(b) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Mohammad Firdaus juga didakwa telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh menerusi Telegram ‘Gagak Hitam’ menggunakan nama ‘Jengking Malaya’ antara 25 Mac dan 17 Jun tahun lalu dan pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130J(1).

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Padu, Tampoi Industrial Estate, Larkin, Johor.

MOHAMMAD FIRDAUS ABDULLAH
MOHAMMAD FIRDAUS ABDULLAH

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang juruteknik penyaman udara dipenjara lima tahun lepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggalakkan perbuatan kumpulan pengganas dan memiliki bahan berkaitan dengannya, tahun lalu.

Hakim Azman memerintahkan Ahmad Faris Zulkefli, 21, menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh dia tangkap iaitu 29 Ogos tahun lalu.

Dalam penghakimannya, Hakim Azman sempat berpesan kepada tertuduh agar tidak terikut-ikut dengan perjuangan jihad kumpulan terbabit yang hanya akan merugikan dirinya apatah lagi ia tidak sesuai dilakukan di Malaysia.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Faris didakwa telah menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas melalui aplikasi WeChat atas nama Pak Kodi menggunakan nama mujahidin333 sebagai WeChat ID.

Dia dakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kelumpuk Teratai 16, Jalan 5/56 AU3, Keramat di sini, antara 9 Jun dan 30 Julai 2016.

.