Keputusan sebulat suara terhadap Rosmizam Che Din, 29, itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki yang bersidang bersama Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim.

Kuorum berkenaan berpuas hati rayuan pendakwa raya tiada merit berdasarkan kepada fakta kes yang telah dikemukakan.  Hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 12 Julai lalu, dikekalkan.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd. Razak menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti bai'ah sumpah setia yang dibuatnya dalam aplikasi Telegram bahawa dia sanggup lakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita kumpulan pengganas selain sanggup mati demi realisasikan hasrat tersebut.

Rosmizam mengaku bersalah terhadap tuduhan pertama memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan Gagak Hitam dengan menggunakan nama 'Zam Rosden' di Jalan USJ 6/3B, Subang dekat sini, pada pukul 12.33 pagi, 30 Mac tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda atau boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Dia turut mengaku bersalah terhadap tuduhan kedua memiliki item berunsur perbuatan keganasan iaitu 34 keping gambar dan dua video secara langsung berkaitan Daesh di dalam telefon bimbit berwarna hitam jenama Samsung di parkir aras LG, Pasaraya Da'Men, Persiaran Subang Permai, dekat sini pada pukul 1.30 petang, 15 Julai tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item itu. - UTUSAN ONLINE.