Demikian harapan seorang ibu tunggal warga Kenya yang juga pesakit kanser rahim, Rose Achieng Ojala, 40, se­perti yang pernah dinyatakan kepada peguambelanya, Suzanawati Ismail.

Namun impiannya itu hancur berkecai selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Wong Teck Meng memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Seperti yang diketahui, hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya hanyalah satu iaitu hukuman mati. Oleh itu saya perintahkan kamu digantung di leher sehingga mati,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, Ojala didakwa mengedar 68 biji kapsul berisi dadah jenis methamphetamine dengan berat bersih 334.7 gram di Wad 6C Hospital Serdang dekat sini, kira-kira pukul 3.50 pagi, 30 November 2013.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhana Ahmad mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Pemeriksaan lanjut di Hospital Serdang mendapati wanita tersebut telah menelan 68 biji kapsul dadah dengan berat kasar 384.7 gram.