Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Siti Mariam Othman memutuskan demikian terhadap G. Sivakumar, 51, setelah pihak pendakwaan mene­rima permohonan representasi oleh tertuduh menerusi peguamnya, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris bagi menggugurkan tuduhan.

Lelaki itu sebelum ini didakwa mengedar dadah tersebut mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta di hadapan sebuah rumah di Taman Desa Seringin, Nilai dekat sini pada pukul 8 malam, 14 Oktober 2016.

Sementara itu, rakannya yang juga seorang kerani, P. Sivagami, 39, yang menghadapi tuduhan serupa turut terlepas hukuman gantung apabila pertuduhan ke atas wanita itu dipinda daripada mengedar kepada memiliki 939 gram ganja pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Hakim Siti Mariam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 6 akta tersebut yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Bagi pertuduhan mengedar methamphetamine pada masa, tarikh dan tempat yang sama, Sivagami dihukum penjara dua tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 14 Oktober tahun lalu.

Berdasarkan fakta kes, seba­nyak sembilan peket plastik lut sinar berisi methamphetamine dan satu ketulan mampat daun ganja ditemukan di tempat letak tayar ganti di dalam bonet kereta jenis Nissan Cefiro ketika serbuan pihak polis ke rumah berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad memohon hukuman setimpal ke atas wanita tersebut sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.