Hakim, Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas R. Ravi, 26, selepas mendapati pihak pembe­laan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan menyangkal andai­an pihak pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ravi yang bekerja di Si­ngapura didakwa mengedar dadah di Jalan Tebrau menghala ke Johor Bahru pada pukul 7.10 malam, 27 Januari 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mohd. Sofian berkata, keterangan pihak pembelaan termasuk tertuduh ketika membela diri hanya bersifat penafian semata-mata.

Menurutnya, keterangan tertuduh yang mendakwa tidak me­ngetahui kehadiran beg kertas berwarna putih yang disyaki berisi dadah tidak selari dengan ketera­ngan saksi pendakwaan iaitu anggota polis trafik yang menahannya ketika kejadian kerana dilihat me­lakukan kesalahan trafik.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norafiah Saini yang mengemukakan empat orang saksi sepanjang perbicaraan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, R. Subash.